Judul : [JERANTUT] ‘MOGA ADA KEAJAIBAN BERLAKU'
link : [JERANTUT] ‘MOGA ADA KEAJAIBAN BERLAKU'
[JERANTUT] ‘MOGA ADA KEAJAIBAN BERLAKU'
“Saya hanya mampu berserah...moga ada keajaiban berlaku,” itu harapan seorang ibu yang mahu bayinya sembuh daripada penyakit biliary atresia atau kegagalan fungsi hati dideritainya.
Nurslinda Mat Hussain, 36, berkata, Muhammad Zulhafiz Mohamad Zamri yang baru berusia lapan bulan disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas tiga hari dilahirkan.
Menurutnya, ketika itu bacaan jaundis kanak-kanak itu naik secara mendadak, selain warna najisnya pucat dan air kencingnya agak keruh, menyebabkan doktor mengesyaki dia mempunyai masalah.
Katanya, disebabkan demam kuningnya belum reda, Muhammad Zulhafiz diminta menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kemudian dibawa pula ke Hospital Selayang.
“Ketika usia Zulhafiz belasan hari, doktor ambil sampel hatinya untuk ujian biopsi hati dan tak lama kemudian, dapat keputusan dia disahkan menghidap biliary atresia.
“Masa tu terasa lemah seluruh badan tapi saya reda di atas ujian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Satu, di sini.
Terpaksa berhenti berniaga
Kehidupan Nurslinda, suaminya, Mohamad Zamri Che Yahya, 36, dan tiga lagi anaknya, Muhammad Zulhelmi, 16, Muhammad Zulkhairi, 13, dan Nurul Najwa Sahira, 9, kini berubah sepenuhnya.
Nurslinda yang sebelum ini membantu suaminya dengan menjual kuih di hadapan rumah, terpaksa berhenti untuk memberikan tumpuan kepada anak keempatnya itu.
Mereka sekeluarga kini bergantung sepenuhnya dengan pendapatan Mohamad Zamri yang berniaga air dan buah menggunakan motosikal dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Nuslinda berkata, dia perlu sentiasa memantau kesihatan anaknya itu.
“Anak saya kalau demam tidak boleh makan ubat. Hanya boleh makan antibiotik. Macam Isnin lalu, secara tiba-tiba nafas dia laju dan batuk, jadi perlu bawanya ke Hoshas. Kami baru balik dari sana lepas lima hari terima rawatan.
“Doktor beritahu ada simptom tertentu yang akan terjadi seperti najis berdarah, batuk berdarah, hidung berdarah dan sebagainya, jadi memang saya kena pantau dia betul-betul...kalau ada tanda-tanda ni, kena cepat-cepat ke hospital,” katanya.
Hospital jadi rumah kedua
Selain itu, bentuk fizikal Zulhafiz turut berubah, di mana selain perutnya yang semakin membesar dan mengeras, uratnya timbul selain pusat sedikit terkeluar.
Nurslinda berkata, walaupun berusia lapan bulan, Muhammad Zulhafiz masih tidak boleh merangkak dan perkembangannya agak perlahan.
“Masalah anak saya macam tiada kesudahan sebab doktor sendiri pun tak ada beritahu bila atau bolehkah anak saya sembuh. Hati ibu mana yang tak bimbang, sekarang saya hanya mampu berserah pada ALLAH ,” katanya.
Bagi Nurslinda, kini hospital seperti rumah keduanya, malah melihatkan kanak-kanak lain yang nasibnya lebih teruk, membuatkan dirinya lebih kuat menghadapi ujian itu.
“Di hospital, saya berkenalan dengan ramai ibu bapa yang anaknya punya nasib sama dengan Zulhafiz. Dari situ, saya sering berkongsi maklumat dengan mereka bagaimana nak menghadapi situasi membesarkan anak istimewa ini,” katanya.
Risiko pembedahan terlalu tinggi
Mohamad Zamri pula berkata, doktor ada menyarankan bayinya menjalani pemindahan hati.
“Namun kami ambil keputusan untuk tidak melakukan pemindahan hati itu kerana risikonya terlalu tinggi sama ada kepada anak saya atau penderma yang mungkin ibunya sendiri.
“Tambahan pula ia perlukan kos yang tinggi sampai ratusan ribu ringgit. Dengar cerita kalau buat di Singapura, harga pembedahan boleh cecah RM250,000,” katanya.
Dengan pendapatan tidak menentu Mohamad Zamri, sebahagian besar perbelanjaan bulanan mereka tertumpu kepada merawat Muhammad Zulhafiz.
Katanya, dianggarkan sekitar RM500 sebulan digunakan untuk membawa anaknya itu berulang ke hospital sama ada Hospital Selayang atau Hoshas.
Selain itu katanya, anaknya turut diberikan susu formula khas yang berharga sekitar RM30 untuk satu tin kecil seberat 375 gram.
“Satu tin susu bertahan paling lama sekitar lima hari dan sekurang-kurangnya lima tin diperlukan setiap bulan. Itu tidak termasuk keperluan lain seperti lampin dan pakaian.
“Saya juga perlu tanggung tiga anak yang masih bersekolah, di mana dua daripadanya tinggal di asrama. Saya juga perlu bayar sewa rumah selain hutang perniagaan,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Nurslinda Mat Hussain,156208158752 atau menghubungi talian 013-9767846 dan 014-3636952.
Demikianlah Artikel [JERANTUT] ‘MOGA ADA KEAJAIBAN BERLAKU'
Sekianlah artikel [JERANTUT] ‘MOGA ADA KEAJAIBAN BERLAKU' kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel [JERANTUT] ‘MOGA ADA KEAJAIBAN BERLAKU' dengan alamat link https://kabarberitamalay.blogspot.com/2017/02/jerantut-moga-ada-keajaiban-berlaku.html