Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah

Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah - Hallo sahabat Berita Malay, Pada Artikel yang anda baca kali ini dengan judul Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah, kami telah mempersiapkan artikel ini dengan baik untuk anda baca dan ambil informasi didalamnya. mudah-mudahan isi postingan Artikel apa kabar Berita, Artikel berita hari ini, Artikel Berita jalanan, Artikel Berita Politik, Artikel Berita terkini, Artikel kabar Berita, Artikel kabar kabur, yang kami tulis ini dapat anda pahami. baiklah, selamat membaca.

Judul : Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah
link : Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah

Baca juga


Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah

Pemeriksaan di sekolah memperlihatkan terdapat sebilangan guru yang meninggalkan bilik darjah dan tidak melaksanakan PdP sama ada disebabkan tugas rasmi atau tidak rasmi.
  • Beberapa isu yang difokuskan adalah seperti berikut:
  • Guru tiada di sekolah
  • Guru berada di sekolah tetapi tidak berada dalam kelas
  • Guru masuk kelas tetapi tidak mengajar
  • Pengurusan bilik darjah
  • Kesediaan guru melaksanakan pengajaran
  • Kesediaan murid
  • Gangguan dalaman
  • Disiplin murid
  • Acara rasmi sekolah
Semua isu di atas ini banyak berlaku di sekolah sehingga menyebabkan waktu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tidak berlaku dengan baik.

Antara Cadangan dan Tindakan Mengatasi Masalah tersebut:

1. Guru tiada di sekolah

Pihak pentadbiran sekolah perlu merancang dan melaksanakan kaedah guru ganti dengan baik dan berkesan. Proses ini boleh dilaksanakan menerusi :

a) Aliran yang sama
Guru ganti yang ditugaskan di sesebuah kelas akan dapat mengajar mengikut tahap sukatan yang sama walaupun subjeknya berbeza dengan guru yang tidak dapat hadir.
b) Tahap yang sama
Sekiranya guru yang diganti itu bukan daripada aliran yang sama, sekurang-kurangnya biarlah guru tersebut pada tahap yang sama dengan guru yang tidak dapat hadir sama ada tahap satu atau tahap dua kerana perbezaan sukatan tidaklah terlalu jauh berbeza.
c) Konsep jual beli
Menerusi konsep ini, guru yang sedia maklum akan ketidakhadirannya bagi sesuatu kelas boleh bertukar masa PdP bagi subjeknya dengan guru aliran yang sama supaya apabila ia kembali bertugas, ia akan mengambil alih masa PdP guru berkenaan. Guru berkenaan juga boleh menyediakan bahan yang terancang dan lengkap membolehkan masa tersebut dapat dipenuhi dengan PdP yang berkesan.

2. Guru berada di sekolah tetapi tiada di kelas

  • Pihak pentadbir sekolah perlu memberikan penekanan dan membuat pemantauan agar semua guru dapat memenuhi dan mematuhi masa instruksional berdasarkan jadual yang ditetapkan. Tindakan secara berhemah seperti nasihat, amaran seterusnya ke tahap tindakan tatatertib perlu diambil terhadap guru terlibat.
  • Usaha-usaha untuk melindungi masa instruksional (protecting instructional time) perlulah dititikberatkan oleh pihak sekolah terutama guru-guru bagi memastikan pembaziran masa untuk PdP dapat dikurangkan.
  • Semoga hasrat dan usaha ini dapat dijayakan bersama oleh semua pihak tidak kira dari kalangan pentadbir, guru, murid dan juga penjaga.


********************************


SOAL JAWAB LAZIM (FAQ) MELINDUNGI MASA INSTRUKSIONAL

Melindungi Masa Instruksional (MMI) Kembali Kepada Yang Asas: Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar dan Murid Belajar

PENDAHULUAN

Buku Panduan Soal Jawab Lazim (FAQ) adalah bertujuan untuk merungkai dan menjelaskan segala kekeliruan dan ketidakjelasan maklumat yang berkaitan dengan amalan Melindungi Masa Instruksional (MMI) kepada semua warga pendidikan di seluruh negara.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa cuba membantu dan memberikan pemahaman agar segala amalan yang terkandung di dalam surat siaran, surat pekeliling ikhtisas, Akta Pendidikan 1996 dan pekeliling-pekeliling lain diketahui oleh guru-guru di sekolah.

Soal jawab lazim yang dimasukkan ke dalam buku panduan ini akan cuba mengupas dan menjawab semua soalan yang sering dikemukakan oleh pihak sekolah dan guru sepanjang amalan MMI dilaksanakan mulai tahun 2012.


********************************

SOALAN DAN JAWAPAN

1. Apakah yang dimaksudkan dengan MMI?

MMI ialah singkatan bagi rangkai kata Melindungi Masa Instruksional (MMI) yang memberikan penekanan semula kepada amalan sedia ada iaitu kembali kepada yang asas ‘Guru Mengajar dan Murid Belajar’. Masa Instruksional ialah masa sebenar yang digunakan untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan aktiviti lain yang menyokong usaha untuk membangunkan potensi murid dengan berkesan tanpa sebarang gangguan.

MMI tidak meminggirkan mana-mana elemen yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu melahirkan insan yang cemerlang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Seksyen 18 (2) - Akta 550 yang berkaitan dengan Kurikulum Kebangsaan hendaklah digunakan oleh semua sekolah. Perincian boleh dirujuk menerusi Peraturan- Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 dan bagi kokurikulum boleh merujuk kepada perkara 2 tentang tafsiran: “kegiatan kokurikulum” ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah.

2. Adakah MMI satu dasar baharu?

MMI bukan satu dasar baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). MMI ialah amalan warga pendidik sejak sistem pendidikan negara dibangunkan, iaitu penekanan pada konsep guru mengajar dan murid belajar. Oleh yang demikian, MMI diberikan penekanan semula oleh pihak KPM.

3. Perlukah jawatankuasa ditubuhkan bagi menjayakan amalan MMI?

MMI tidak memerlukan penubuhan jawatankuasa baharu. Ia hanya perlu dibincangkan sebagai salah satu agenda dalam Jawatankuasa Kurikulum atau mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan.

4. Pihak manakah yang berperanan dalam memastikan MMI diamalkan?

Semua pihak di peringkat Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah memainkan peranan dalam memastikan MMI disebarluaskan dan diamalkan. Dalam hal ini, agensi luar, masyarakat dan ibu bapa juga harus diberikan penjelasan dalam membantu pelaksanaan MMI.

5. Apakah faedah MMI kepada murid?

Murid akan mendapat masa pembelajaran yang maksimum dan berkualiti jika MMI diamalkan dengan berkesan di sekolah. Sekiranya murid tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada waktu rasmi persekolahan maka ia wajib dilaksanakan pada masa dan kaedah lain yang sesuai.

6. KPM amat menggalakkan kerjasama dengan pihak luar. Sekiranya agensi tersebut ingin melaksanakan program dan aktiviti pada waktu persekolahan, apakah tindakan yang perlu diambil oleh pihak sekolah?

Pemimpin sekolah perlu mengadakan perbincangan dengan mana-mana agensi yang berhasrat untuk mengadakan program dan aktiviti pada waktu persekolahan serta menjelaskan kepentingan amalan MMI kepada pihak yang berkenaan. Pihak sekolah perlu menghubungi Unit Perhubungan dan Pendaftaran JPN bagi mendapatkan kebenaran untuk melaksanakan aktiviti berkenaan.

7. Bolehkah guru-guru dibenarkan keluar untuk menyertai sebarang aktiviti dan program yang diadakan semasa waktu persekolahan?

BOLEH, dengan arahan bertulis dan kebenaran daripada pemimpin sekolah. Walau bagaimanapun guru yang berkenaan dan pihak pentadbir sekolah perlu mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan waktu PdP yang terjejas itu ada guru ganti (relief) atau mengadakan aktiviti-aktiviti lain yang sesuai.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Siaran Bil. 20 Tahun 2012: Pelaksanaan Perakuan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru bertarikh 27 Jun 2012 di Lampiran C; Perkara No.3 – Agensi Luar KPM (Penglibatan Guru-guru Hendaklah Tidak Menjejaskan Pengurusan Sekolah serta Proses PdP)

8. Saya merupakan ahli pasukan sukarelawan (cth. Ahli Bulan Sabit Merah Malaysia) yang aktif. Saya telah diarahkan untuk melakukan kerja sukarela membantu negara semasa ditimpa bencana. Bolehkah saya menyertai aktiviti tersebut?

Pemimpin sekolah perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan arahan, keperluan, kepakaran dan prosedur yang telah ditetapkan. Namun, keputusan yang diambil mesti tidak menjejaskan hak murid untuk memperoleh PdP yang berkualiti.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24 Tahun 1998: Penglibatan Guru dan Murid Dalam Aktiviti Pasukan Pakaian Seragam Anjuran Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan

9. Sebagai Pengetua/Guru Besar, adakah saya berhak untuk tidak membenarkan guru-guru saya menyertai aktiviti/program luar jika menerima surat arahan KPM/ JPN/PPD?

YA, kebenaran ini tertakluk kepada budi bicara Pengetua/Guru Besar. Walau bagaimanapun, atas prinsip permuafakatan Pengetua/Guru Besar perlu memberikan kerjasama dan komitmen kepada KPM, JPN serta PPD dalam menjayakan segala program.

10. Sekiranya saya tidak dapat melaksanakan PdP atas urusan rasmi, bolehkah saya menggantikan waktu tersebut di luar waktu persekolahan?

BOLEH dengan syarat memperoleh kebenaran daripada pentadbir sekolah.

11. Saya telah diarah untuk menjalankan tugas rasmi, adakah perlu saya mengganti waktu yang telah tertinggal tersebut?

TIDAK PERLU kerana pihak sekolah akan menggantikan waktu-waktu tersebut dengan guru ganti (relief) berdasarkan cadangan amalan terbaik PdP seperti yang dikemukakan dalam Buku Amalan Terbaik MMI keluaran tahun 2013. Namun, guru boleh membuat lelongan jadual waktu sebelum atau selepas melaksanakan tugas rasmi tersebut.

12. Adakah pihak Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di sekolah terlibat dalam pelaksanaan MMI? Contohnya pembantu makmal.

Semua pihak perlu mempraktikkan amalan MMI di sekolah mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing.

13. Adakah amalan MMI akan menghalang kemenjadian murid dalam bidang kokurikulum dan akademik?

TIDAK, kerana kegiatan kokurikulum merupakan sebahagian daripada proses PdP. Hal ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada murid untuk menambah, mengukur dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran serta nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, kegiatan kokurikulum hendaklah dirancang dengan teratur dan teliti seperti mana perancangan untuk aktiviti-aktiviti kurikulum serta dilaksanakan dengan cekap dan berkesan berpandukan akta dan Surat Pekeliling Ikhtisas yang sedang berkuat kuasa.

14. Pelaksanaan MMI menyebabkan sekolah tidak boleh mengadakan sebarang bentuk perayaan seperti Sambutan Hari Guru, Sambutan Hari Kanak-Kanak, Sambutan Hari Lahir dan Hari Kantin.

TIDAK BENAR. Sekolah masih boleh mengadakan program sambutan atau aktiviti lain yang difikirkan perlu secara terancang dan terkawal tanpa menjejaskan PdP.

15. Adakah perkhidmatan kaunseling pada masa persekolahan dianggap sebagai sebahagian daripada proses PdP?

YA, kerana murid boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara individu atau kelompok pada bila-bila masa waktu persekolahan termasuk semasa waktu PdP.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Siaran KPM Bil 12 Tahun 2012 bertarikh 16 April 2012: Perekayasaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah.

16. Adakah tindakan disiplin boleh diambil terhadap murid-murid semasa sesi PdP?

Pengetua/Guru Besar boleh menggunakan budi bicara mengikut tahap keseriusan kes salah laku kerana tindakan disiplin juga merupakan salah satu proses untuk mendidik.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 2 Tahun 1981: Ketetapan Masa Di Sekolah-Sekolah bertarikh 12 September 1981 dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4 tahun 1996: Pelaksanaan Kuasa Disiplin Dan Hukuman Di Sekolah bertarikh 3 September 1996.

17. Adakah latihan kebakaran yang dilaksanakan pada waktu sesi persekolahan mengganggu MMI?

TIDAK kerana latihan kebakaran juga merupakan satu elemen pendidikan yang perlu dilaksanakan secara terancang sekurang-kurangnya sekali dalam sepenggal.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8 Tahun 1978: Kawad Kecemasan Kebakaran Di Sekolah bertarikh 23 Jun 1978, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12 Tahun 1989: Garis Panduan Dari Segi Pencegahan Kebakaran Bagi Bangunan Domitori dan Asrama bertarikh 9 September 1989 dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7 Tahun 2000: Mencegah Kebakaran Di Sekolah bertarikh 14 Mac 2000.

18. Adakah kehadiran ibu bapa yang ingin berjumpa dengan guru semasa PdP mengganggu MMI?

Kehadiran ibu bapa amatlah dialu-alukan ke sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka di luar waktu PdP.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2 Tahun 1981: Ketetapan Masa Di Sekolah-Sekolah bertarikh 12 September 1981.

19. Bagaimanakah sumbangan Guru Cemerlang (GC) dan Guru Kaunseling dalam memastikan keberkesanan MMI?

Pendekatan PdP yang berkesan yang dilaksanakan oleh GC perlu dikongsi dengan guru-guru lain bagi mengoptimumkan keberhasilan pembelajaran murid. Manakala sumbangan Guru Kaunseling adalah bagi memastikan kemenjadian murid. Walau bagaimanapun pelaksanaan PdP GC dan perkhidmatan Guru Kaunseling tidak seharusnya diganggu.

20. Bolehkah saya melaksanakan aktiviti PdP di luar bilik darjah?

BOLEH, selagi keberhasilan pembelajaran murid dicapai dan memaklumkannya kepada pentadbir atau memohon kebenaran sekiranya melibatkan aktiviti di luar sekolah. Hal ini selari dengan aspirasi murid menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11 Tahun 2004: Pelaksanaan Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD)) sekiranya aktiviti dilakukan di luar bilik darjah bertarikh 31 Disember 2004.

21. Bolehkah sekolah menganjurkan program peningkatan akademik seperti Seminar/Teknik Menjawab Soalan pada waktu persekolahan?

BOLEH, program yang dianjurkan hendaklah dirancang dengan cekap dan berkesan supaya pelaksanaannya menepati kehendak kumpulan sasar dan memastikan semua murid serta guru dapat melindungi masa instruksional yang sepatutnya.

22. Bolehkah sekolah ganti pada hari Sabtu melaksanakan aktiviti dan program selain PdP? Contoh dengan mengadakan gotong-royong.

Pelaksanaan sekolah ganti (Sabtu) sepatutnya mengikut jadual hari persekolahan yang diganti.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2 Tahun 2012: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya semasa hari ganti persekolahan pada hari Sabtu bertarikh 25 September 2012.

23. Bolehkah program kokurikulum/sukan diadakan pada waktu persekolahan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan?

BOLEH, dengan mengambil kira beberapa perkara seperti memaksimumkan sumber tenaga serta meminimumkan jawatankuasa dan penglibatan guru. Pelaksanaan kegiatan kokurikulum adalah mengikut tahap dan hendaklah dijalankan di luar waktu PdP.

Rujukan boleh dilakukan menerusi Buku Panduan Penilaian Kokurikululm Tahun 2006

24. Pelaksanaan MMI akan mengurangkan penglibatan guru dalam melaksanakan aktiviti sukan/kokurikulum di peringkat PPD/JPN/Kebangsaan.

Guru tidak dihalang untuk menyertai aktiviti sukan/kokurikulum di peringkat PPD/JPN/Kebangsaan. Namun, mereka perlu memastikan PdP di dalam kelas yang ditinggalkan dapat dilaksanakan sama ada secara modul, guru ganti atau lelongan jadual dan apa-apa pendekatan yang sesuai.

25. Adakah program lawatan sambil belajar perlu dibatalkan kerana menyalahi amalan MMI?

TIDAK PERLU. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5 Tahun 2002 bertarikh 1 Ogos 2002 (Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan), pengelolaan lawatan sambil belajar merupakan salah satu kaedah PdP yang menyeronokkan (learning is fun). Kaedah ini berupaya memberikan pendedahan secara realiti dan “hands on” terhadap sesuatu mata pelajaran yang diajar di dalam kelas.

26. Bolehkah latihan intensif aktiviti sukan/kokurikulum dilaksanakan pada waktu pagi/PdP?

Pelaksanaan kegiatan kokurikulum adalah mengikut tahap dan hendaklah dijalankan di luar waktu PdP. Bagi sekolah rendah dan menengah, peruntukan masa kokurikulum adalah seperti yang berikut:
i. Tahun 3 & 4: 60 minit seminggu
ii. Tahap 5 & 6: 120 minit seminggu
iii. Kelas Peralihan, Tingkatan 1,2,3 & 6: 180 minit seminggu
iv. Tingkatan 4 & 5: 100 hingga 180 minit seminggu mengikut aliran.

27. Adakah MMI menyumbang kepada kemerosotan penyertaan aktiviti kokurikulum disebabkan guru dan murid tidak dibenarkan keluar dan seterusnya menjejaskan penilaian 10% kokurikulum?

Pelaksanaan MMI tidak mengganggu penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum, malah ia lebih sistematik dan terancang serta dapat memastikan hak murid dalam kurikulum dan kokurikulum dipatuhi.

RUJUKAN DAN PANDUAN DI SEKOLAH:



Demikianlah Artikel Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah

Sekianlah artikel Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.

Anda sekarang membaca artikel Melindungi Masa Instruksional (MMI) - Konsep dan Penyelesaian di sekolah dengan alamat link http://kabarberitamalay.blogspot.com/2020/01/melindungi-masa-instruksional-mmi.html

Subscribe to receive free email updates: