Judul : TAHUN 2020: DEKAD BAHARU, TEKAD BAHARU
link : TAHUN 2020: DEKAD BAHARU, TEKAD BAHARU
TAHUN 2020: DEKAD BAHARU, TEKAD BAHARU
Berakhirnya tahun 2019 menandakan negara kita melangkah ke dekad baharu dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar. Merangkumi kehidupan, ekonomi, politik, agama dan hubungan antarabangsa. Tahun 2020 pastinya datang dengan sinar dan harapan baharu.
Bagi generasi X dan Y yang lahir antara tahun 1965 hingga 1997, mereka sinonim dengan Wawasan 2020 atau “Vision 2020” yang telah dilancarkan pada 28 Februari 1991 sebagai satu harapan dan matlamat jangka panjang negara bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju.
Sembilan matlamat utama Wawasan 2020 yang dirangka, antaranya bagi memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang, mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika serta menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya. Bagaimanapun harapan dan impian tersebut terbantut hinggakan memerlukan wawasan baharu dilancarkan.
Apakah halangan utama kegagalan negara mencapai Wawasan 2020? Adakah satu pandangan yang adil apabila ada sesetengah pihak yang meletakkan kegagalan Wawasan 2020 kepada kerajaan terdahulu khususnya ke atas Perdana Menteri kelima dan keenam? Mungkinkah objektif Wawasan 2020 tersasar kerana percaturan dan permainan politik yang keterlaluan? Akhirnya pada bulan Oktober lalu, kerajaan mengumumkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) sebagai wawasan negara yang baharu dan mensasarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan berlandaskan tujuh teras strategi. Dengan pelancaran WKB2030, bermakna berakhirnya Wawasan 2020 sebagai satu harapan yang gagal direalisasikan. Kita jadikan Wawasan 2020 visi yang gagal terlaksana sebagai satu iktibar dan panduan di masa mendatang.
Permulaan tahun 2020 juga menjadi satu harapan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar sekolah rendah. Kerajaan akan melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP), sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan pada Ogos 2019 lalu. Program PSP tersebut akan mula dilaksanakan pada sesi persekolahan 2020 yang memanfaatkan 2.7 juta pelajar sekolah rendah di seluruh negara. Dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun. Program PSP dicadangkan bagi menggantikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah dilaksanakan sejak tahun 70an lagi. RMT mensasarkan pelajar daripada keluarga B40 manakala PSP disasarkan kepada semua pelajar. Menjelang tahun baharu, sebagai permulaan hanya 100 buah sekolah sahaja yang terpilih dan terbabit berbanding jumlah sepatutnya ialah 7,776 buah sekolah rendah. Hanya 37 ribu pelajar terbabit berbanding sasaran asal 2.7 juta orang. Persoalannya kenapa hanya 100 buah sekolah yang terpilih sahaja dimulakan dahulu? Apakah terdapat masalah peruntukan dengan Program PSP ini?
Jika awal tahun 2019, Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands membuka gelanggang politik 2019 dengan kejayaan bergaya Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi tersebut. Menjelang Januari 2020, PRK Parlimen Kimanis membuka gelanggang politik dan medan ujian pertama UMNO bagi tahun 2020. Jentera UMNO, BN dan Muafakat Nasional telah bersiap siaga bagi menghadapi PRK Kimanis yang akan berlangsung mulai 4 Januari hingga 18 Januari ini. Apa yang menarik, PRK Kimanis hadir setelah Perhimpunan Agung UMNO ke-73 pada Disember lalu telah bersetuju dan meluluskan usul memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah menentukan hala tuju politik Sabah. Orang Sabah yang lebih arif akan masalah dan perkara yang boleh dilakukan di negeri itu. Pemilihan Datuk Mohamad Alamin sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis juga ditentukan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Bagi saya pemilihan Datuk Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Moh, seorang peguam, anak lokal Kimanis dan disenangi oleh masyarakat setempat adalah pilihan yang tepat. Tambahan pulak selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan (2013-2018), Tok Moh pasti mempunyai kelebihan tersendiri bagi mempertahankan kerusi Parlimen yang sebelum ini dimiliki BN. Sejak awal Januari 2020 saya dan kepimpinan UMNO serta sayap telah berkampung di Kimanis sebagai tanda sokongan dan dokongan UMNO pusat kepada UMNO Sabah.
Kehadiran Presiden Pas pada program Ceramah Perdana dan Kenduri Rakyat pada 1 Januari di Kampung Pimping, Membakut memberikan satu mesej yang jelas bahawa Muafakat Nasional juga memainkan peranan tersendiri dipersesuaikan dengan situasi. Sepertimana yang saya tegaskan sebelum ini “Gagasan Muafakat Nasional harus disesuaikan dengan situasi politik di Sabah kerana latar belakangnya berbeza”. Walaupun ada usaha-usaha yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu menimbulkan kesangsian dan kecelaruan dengan memanipulasikan kenyataan saya berkaitan dengan Muafakat Nasional. Saya yakin rakyat Sabah khususnya pengundi di Parlimen Kimanis tidak terpengaruh dengan dakyah tersebut.
Kedudukan geografi dan demografi Parlimen Kimanis sememangnya memberikan kelebihan buat setiap parti-parti yang bertanding kerana Kimanis antara Parlimen yang mempunyai pengundi terkecil di Sabah dengan jumlah 29,663 pemilih berdaftar. Alhamdulillah, hari ini selesai proses penamaan calon yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mempertaruhkan Datuk Karim Bujang sebagai calon. Laungan ‘Radu Tatap Radu’ dan ‘Ubah Balik’ bergema mengiringi calon BN di sepanjang perjalanan menuju ke pusat penamaan calon. Insya-Allah, saya yakin dengan kesatuan dan kerjasama yang kukuh, kepimpinan, jentera dan ahli kita mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis.
Sempena dengan kedatangan tahun baharu, dekad kedua, abad ke-21 ini, alangkah baiknya jika kita mampu tinggalkan kekhilafan politik lama, bertelagah di gelanggang sendiri yang membawa kepada “untung secupak, rugi segantang”. Kita buka lembaran politik baharu dengan berpakat dan bermuafakat, membina bukan meruntuh dan berubah ke arah yang lebih baik sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Barang siapa hari ini LEBIH BAIK dari semalam, dia tergolong kalangan orang yang BERUNTUNG, barang siapa yang hari ini SAMA DENGAN semalam, dia tergolong kalangan orang yang RUGI dan barang siapa yang hari ini LEBIH TERUK dari semalam, dia tergolong kalangan orang yang CELAKA” (HR Hakim)
AHMAD ZAHID HAMIDI
#salammuafakatnasional
#umnosebuahperjuangan
#muafakatnasionalpemacupolitikmalaysia
Demikianlah Artikel TAHUN 2020: DEKAD BAHARU, TEKAD BAHARU
Sekianlah artikel TAHUN 2020: DEKAD BAHARU, TEKAD BAHARU kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel TAHUN 2020: DEKAD BAHARU, TEKAD BAHARU dengan alamat link https://kabarberitamalay.blogspot.com/2020/01/tahun-2020-dekad-baharu-tekad-baharu.html